Tuesday, 29 October 2013

3 Soalan 1 Penampar...

3 Soalan 1 Penampar... Jawapan dengan Tamparan... Pemuda : Anda siapa Dan apakah bisa menjawab pertanyaan-pertanyaan saya? Imam : Saya hamba Allah dan dengan izin-Nya saya akan menjawab pertanyaan anda. Pemuda : Anda yakin? Sedangkan Profesor dan ramai orang yang pintar tidak mampu menjawab pertanyaan saya. Imam : Saya akan mencuba sejauh kemampuan saya. Pemuda : Saya ada 3 pertanyaan:- 1.Kalau memang Tuhan itu ada,tunjukan wujud tuhan kepada saya 2.Apakah yang dinamakan takdir 3.Kalau syaitan diciptakan dari api kenapa dimasukan ke neraka yang dibuat dari api, tentu tidak menyakitkan buat syaitan. Sebab mereka memiliki unsur yang sama. Apakah Tuhan tidak pernah berfikir sejauhitu? Tiba-tiba Imam tersebut menampar pipi pemuda tadi dengan keras. Pemuda : Kenapa anda marah kepada saya? (sambil menahan sakit) Imam : Saya tidak marah. Tamparan itu adalah jawaban saya atas 3 pertanyaan yang anda ajukan kepada saya. Pemuda : Saya sungguh-sungguh tidak mengerti. Imam : Bagaimana rasanya tamparan saya? Pemuda : Tentu saja saya merasakan sakit. Imam : Jadi anda percaya bahawa sakit itu ada? Pemuda : Ya! Imam : Tunjukan pada saya wujud sakit itu! Pemuda : Saya tidak boleh. Imam : Itulah jawaban pertanyaan pertama. Kita semua merasakan kewujudan Tuhan tanpa mampu melihat wujudnya. Imam : Apakah tadi malam anda bermimpi akan ditampar oleh saya? Pemuda : Tidak. Imam : Apakah pernah terfikir oleh anda akan menerima tamparan dari saya hari ini? Pemuda : Tidak. Imam : Itulah yang dinamakan takdir. Imam : Terbuat dari apa tangan yang saya gunakan untuk menampar anda? Pemuda : Kulit. Imam : Terbuat dari apa pipi anda? Pemuda : Kulit. Imam : Bagaimana rasanya tamparan saya? Pemuda : Sakit. Imam : Walaupun syaitan dijadikan dari api dan neraka juga terbuat dari api, jika Tuhan menghendaki maka neraka akan menjadi tempat yang menyakitkan untuk syaitan...

AKU BUKAN SAIDINA ALI

Nurul Salwa Al-Fateh. Pertemuan pertama kali dengan wanita hebat seperti Nurul Salwa Al-Fateh pasti tidak mampu dilupakan. Pelajar perundangan syariah yang sangat hebat tentang hukum agama. Penegak keadilan. Pembanteras kezaliman. Begitu tabik aku kepada Nurul Salwa Al-Fateh. Namun apa yang pasti, wanita ini sebenarnya amat sukar untuk didekati. Terlalu sukar. Wanita yang begitu sibuk beribadah dan berhubung dengan kekasihNya menyebabkan dia sentiasa menyendiri daripada kelompok manusia yang sibuk dengan kehidupan sosial masing-masing.

Jika dibandingkan aku dan Nurul Salwa Al-Fateh, terlalu jauh perbezaan kami berdua. Hidup Nurul Salwa Al-Fateh begitu mengikut syariat padahal aku pula banyak melanggarnya. Jauh di sudut hatiku, aku mahu memiliki Nurul Salwa Al-Fateh itu. Aku seperti telah jatuh hati pada wanita yang hujung namanya Al-Fateh itu. Tapi, bolehkah aku memilikinya? Sedangkan kehidupan kami berdua saja sudah boleh membezakan aku yang jahat dan dia yang baik. Hati ini sukar untuk dijangka. Bila aku tidak memerlukan cinta, ia datang menyinggah. Bila diperlukan, ia tidak mahu datang. Itulah lumrahnya perkataan yang bernama cinta.

Tetapi pada suatu hari, terjadi satu peristiwa yang telah mengubah kehidupanku. Aku bertemu Nurul Salwa Al-Fateh. Pada ketika itu, dia berada di perpustakaan kampus dan pada waktu yang sama, aku sedang mencari bahan rujukan untuk menyiapkan kerja khusus yang diberikan oleh pensyarah. Tiba-tiba, Nurul Salwa Al-Fateh memberi salam dan meminta aku mengambil buku yang berada tidak jauh dari tempat aku berdiri. Aku begitu terkejut dan terpegun dengan keindahan Nurul Salwa Al-Fateh. Memang benar kata para pelajar di sini, dia pelajar yang luar biasa.

"Errr... Encik? Boleh ambilkan saya buku yang tidak jauh dari tempat encik berdiri?"

Aku pun mengambil buku tersebut setelah lamunan aku terhenti. Aku memberanikan diri untuk bertanya padanya adakah betul dia Nurul Salwa Al-Fateh. Dia tersenyum. Aku sungguh terpukau dengan senyuman manis bersama lesung pipitnya itu. Nurul Salwa Al-Fateh menganggukkan kepala dan berlalu seraya meninggalkan aku salam. Hatiku berdebar-debar. Aura Nurul Salwa Al-Fateh masih bersama denganku. Sejak dari itu, aku mula kerap ke perpustakaan agar sentiasa bertemu wanita hebat itu.



Ke mana saja dia pergi, aku pun mengikutinya. Segala aktiviti Nurul Salwa Al-Fateh sentiasa aku ketahui. Sifat peribadinya tiada beza seperti Saidatina Fatimah Az-Zahra. Mungkin aku boleh samakan dia dengan Ummu Abiha itu. Nurul Salwa Al-Fateh sentiasa menghadiri majlis-majlis ilmu di masjid dan mengikuti aktiviti kebajikan. Sedikit demi sedikit, aku telah berubah. Dahulu gaya hidupku terlalu kebaratan. Di dalam rumahku ini aku sedar tiada sedikit pun sinar Islam. Botol arak tersimpan kemas di dalam almari. Maksiat bermaharajalela di rumah ini. Aku sangat berasa jahil dan sememangnya aku jahil dalam bab agama. Aku ingin berubah menjadi yang lebih baik. Aku tidak mahu tersesat di jalan yang lagi menyesatkan ini. Namun pada siapa harus aku bertemu?

Sedang asyik aku duduk di tasik buatan kampus, hadirnya wanita idaman semua lelaki. Nurul Salwa Al-Fateh bersama beberapa temannya menyapaku. Mungkin dia terlihat aku di dalam masalah. Entah bagaimana dia boleh tahu tentang masalah yang dihadapiku ini. Nurul Salwa Al-Fateh menyerahkan sekeping kertas yang tercatat padanya nama dan nombor telefon seseorang. Dia meminta aku untuk berjumpa dengan orang tersebut. Kemudian dia pun pergi bersama-sama rakannya dengan meninggalkan aku salam. Tanpa melengah-lengahkan masa, aku mengeluarkan telefon bimbit lalu mendail nombor tersebut. Perbualan antara aku dan Ustaz Muhammad tidaklah panjang. Aku hanya meminta untuk berjumpa.

Pada malam itu, aku berjumpa Ustaz Muhammad di sebuah masjid tidak jauh daripada kediamanku. Aku menceritakan segala kisah hidupku dan meminta Ustaz Muhammad membimbingku. Dengan hati yang besar, Ustaz Muhammad menerimaku sebagai anak didiknya. Kini aku mampu tersenyum. Aku mula belajar untuk mengambil wuduk kemudian solat. Setelah itu aku mula membaca surah-surah lazim. Bermula dengan surah Al-Fatihah dan 3 surah Qul. Dalam masa beberapa hari aku sudah menguasainya. Aku umpama bayi. Bayi yang mula-mula hanya tahu merangkak. Cuba berdiri dan berjalan tetapi pada suatu saat, aku tersungkur. Walaupun sering aku rasa kesakitan, tapi aku tidak mengalah. Aku berdiri lagi dan berjalan perlahan-lahan. Alhamdulilah, sekarang aku mampu melaksanakan perintah Allah yang menjadi perkara yang pertama dihisab di alam barzakh, solat.

Usai saja solat Zohor di masjid kampus, aku terserempak dengan Nurul Salwa Al-Fateh. Aku menyapanya dengan memberi salam. Nurul Salwa Al-Fateh yang ketika itu bersama temannya memalingkan wajah ke belakang dan menjawab salam yang aku berikan. Aku mengucapkan terima kasih kepadanya kerana telah menemukan aku kepada Ustaz Muhammad. Nurul Salwa Al-Fateh menganggukkan kepala dan berkata dia hanya membantu mempertemukan saja aku dan Ustaz Muhammad. Tidak lebih daripada itu. Ya Allah, wanita di hadapanku ini sungguh merendah diri. Sebelum meminta diri, aku sekali lagi mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepadanya. Aku pun pergi meninggalkan Nurul Salwa Al-Fateh dengan sebuah senyuman yang telah aku khaskan buatnya.

Beberapa hari kemudian, aku mendapat khabar Nurul Salwa Al-Fateh dilamar oleh seorang ustaz. Ustaz Salahuddin Al-Ayyubi. Bekas pelajar Universiti Al Azhar. Tetapi ditolak oleh Nurul Salwa Al-Fateh. Ramai lelaki yang telah cuba melamar Nurul Salwa Al-Fateh tetapi kesemuanya pulang dengan hampa kerana lamaran masing-masing telah ditolak olehnya. Lelaki-lelaki yang melamar Nurul Salwa Al-Fateh bukan calang-calang orang. Kesemuanya kuat agama dan merupakan anak orang berada. Di hatiku timbul satu soalan: Siapakah yang boleh mendapatkan Nurul Salwa Al-Fateh itu?

Seperti biasa, aku akan berada di masjid bersama-sama Ustaz Muhammad pada setiap malam Jumaat. Mengaji Al-Quran bersama dengannya. Memperbetulkan tajwid jika aku tersalah. Malam itu, aku merasakan bacaanku semuanya tidak betul sehingga Ustaz Muhammad menjadi hairan. Apakah yang bermain di fikiranku sebenarnya? Mengapa setiap bacaanku menjadi salah?

Ustaz Muhammad meminta aku berhenti membaca. Takut jika aku terus membaca, banyak lagi kesalahan yang aku lakukan. Aku rasa gundah gulana. Wajah Nurul Salwa Al-Fateh bermain di minda. Patut saja aku tidak boleh membaca al-Quran dengan baik. Ustaz Muhammad bertanya kepadaku andai aku mempunyai masalah. Aku telah menganggap Ustaz Muhammad seperti ayahku sendiri dan begitu senang untuk aku bercerita kepadanya. Aku menceritakan kepadanya mengenai Nurul Salwa Al-Fateh itu. Ketika aku bercerita, aku tidak mahu menyebut nama Nurul Salwa Al-Fateh.

"Kenapa tidak cuba untuk melamar wanita itu?" soal Ustaz Muhammad. Aku yang bersandar pada dinding masjid tersenyum.

"Saya dan wanita itu umpama langit dan bumi. Bagaimana untuk saya melamar wanita solehah itu padahal sebelum saya, ramai lelaki yang telah pulang dengan hampa kerana lamaran sudah ditolak. Jika saya yang pergi melamarnya, sudah pasti ditolak oleh wanita itu," jawabku. Tiba-tiba Ustaz Muhammad ketawa.

"Bagaimana kamu tahu kamu ditolak oleh wanita itu padahal kamu belum mencubanya? Belum cuba, kamu sendiri tidak akan tahu keputusannya bagaimana. Mungkin wanita itu akan menerima kamu sebagai suaminya," kata Ustaz Muhammad. Aku terdiam. Ada benarnya juga kata Ustaz Muhammad.

Kemudian Ustaz Muhammad menceritakan kisah Saidina Ali bin Abi Talib dan Saidatina Fatimah Az-Zahra. Aku mendengar penuh khsuyuk cerita yang diceritakan oleh Ustaz Muhammad. Cinta diam itu hanya dipendamkan kerana takut melebihi cinta kepada Allah. Namun cinta mereka itu disatukan juga. Aku begitu kagum kepada Saidina Ali bin Abi Talib yang begitu sabar bagi menunggu cintanya.

"Namun saya bukan Saidina Ali, ustaz. Saya hanyalah hamba Allah yang serba kekurangan. Saya mungkin tidak layak untuk wanita itu. Wanita itu terlalu baik dan solehah. Dia mungkin layak untuk orang lain. Bukan saya, ustaz," kataku kepada Ustaz Muhammad.

"Jika kamu bukan Saidina Ali, wanita itu juga bukan Saidatina Fatimah. Terlalu awal untuk berputus asa. Cubalah dahulu. Aku yakin kamu pasti akan memiliki wanita solehah itu." Kata-kata Ustaz Muhammad memberi aku semangat. Aku perlu mencuba dahulu agar mengetahui jawapannya. Aku melakukan solat hajat dan solat istikarah. Jika lamaranku ditolak, aku redha. Aku tahu aku tidak layak buat Nurul Salwa Al-Fateh.

Berbekalkan doa, aku memberanikan diri berjumpa orang tua Nurul Salwa Al-Fateh. Semasa aku bertemu orang tua Nurul Salwa Al-Fateh, aku begitu terkejut besar sehingga menyebabkan aku tidak dapat berkata-kata. Lelaki yang menjadi ayah kepada Nurul Salwa Al-Fateh itu adalah Ustaz Muhammad. Kedatanganku disambut dengan penuh gembira oleh Ustaz Muhammad. Aku berasa seperti dalam mimpi!

"Apakah kedatanganmu ke rumahku ini anak muda?" soal Ustaz Muhammad. Aku menjadi sedikit gementar. Ragu-ragu untuk meluahkan apa yang sudah tersirat di hati. Aku menarik nafas.

"Maaf kalau saya mengganggu ustaz, tetapi kedatangan saya ke sini membawa hajat yang besar. Saya tahu saya bakal ditolak tetapi saya mahu mencubanya dahulu. Saya ingin melamar Nurul Salwa Al-Fateh menjadi isteri saya. Menjadi peneman hidup saya," kata aku menyatakan kedatanganku kepada Ustaz Muhammad.

"Persoalan yang bermain di minda dan di hatimmu itu bakal dijawab sendiri oleh Nurul Salwa Al-Fateh. Andai dia menerima, aku juga akan menerima. Andai ditolak, redhakan saja," kata Ustaz Muhammad. Aku hanya menganggukkan kepala. Ustaz Muhammad pun memanggil Nurul Salwa Al-Fateh ke ruang tamu dan bertanya kepadanya sama ada dia menerima lamaranku atau menolaknya. Aku perlu bersedia.

"Abah, Salwa pernah mendengar ada lelaki yang mengatakan dia bukan sehebat Saidina Ali kerana kehebatan cinta Saidina Ali kepada puteri Rasulullah SAW. Sedangkan Salwa juga bukanlah Saidatina Fatimah Az-Zahra. Salwa juga ada kekurangannya. Setiap hari Salwa menunggu lelaki itu melamar, namun hampa. Sehinggalah hari ini, penantian Salwa telah tamat, abah. Lelaki itu hadir juga dan lelaki yang Salwa maksudkan adalah Muhammad Zoriffudin. Lelaki yang menjadi anak didik abah. Dengan itu, Salwa menerima lamaran lelaki yang ada di hadapan abah," jawab Nurul Salwa Al-Fateh. Aku rasa begitu gembira sehingga melakukan sujud syukur. Ya Allah, terima kasih!


Siapa menyangka penghujungnya indah? Aku yang dahulunya berfikiran akan ditolak oleh Nurul Salwa Al-Fateh, tetapi diterima lamaranku. Aku bukanlah sehebat lelaki-lelaki lain yang bekerjaya tinggi dan luas ilmu agama. Aku masih lagi dalam keadaan kekurangan. Kekurangan kerana tiada yang mengembalikan tulang rusukku yang hilang. Aku yang perlu mencarinya kembali dan akhirnya aku menjumpainya. Bertemu kembali tulang rusukku yang hilang dan tulang rusukku itu adalah Nurul Salwa Al-Fateh binti Muhammad.

- artikel ilove islam

Sunday, 21 July 2013

surat untuk adam

salam ukhwah fillah

Adam,
Maafkan aku jika coretan ini memanaskan hatimu. Sesungguhnya aku adalah hawa,temanmu yang kau pinta semasa kesunyian disyurga dahulu. Aku asalnya dari tulang rusukmu yang bengkok. Jadi,tidak hairanlah jika perjalanan hidupku sentiasa inginkan bimbingan darimu. Sentiasa mahu terpesong dari landasan kerana aku buruan syaitan.

Adam,
Maha suci Allah yang mentakdirkan kaumku lebih ramai bilangannya dari kaummu dikala akhir zaman ini. Itulah sebenarnya ketelitian Allah dalam urusannya,kerana andainya Allah mentakdirkan bilangan kaummu mengatasi kaumku nescaya merahlah dunia ini dengan darah manusia. Kacau bilaulah suasana Adam sesama Adam bermusuh hanya kerana Hawa.

Buktinya cukup nyata dari peristiwa Habil dan Qabil. Sehinggalah pada zaman cucu-cicitnya juga. Jika begitu maka tidak selaraslah undang-undang Allah Yang mengharuskan adam beristeri lebih dari satu tetapi tidak melebihi empat orang dalam satu masa.

Adam,
Bukan kerana ramainya isterimu membimbangkan daku. Bukan kerana sedikitnya bilanganmu merunsingkanku. Tetapi aku risau,gundah dan gulana menyaksikan tingkahmu. Sejak dahulu lagi telah kuketahui bahawa seharusnya aku tunduk tatkala telah menjadi isterimu. Patutlah terlalu berat lidahku berbicara untuk menyatakan isi hati ini. Namun sebagai hamba Allah, Aku sayang padamu.

Adam,
Sebagaimana didalam Al-Quran telah menyatakan yang engkau diberi kuasa terhadap wanita. Kau diberi amanah mendidikku. Kau diberi tanggungjawab untuk menjagaku,memerhati dan mengawasiku agar redha Allah sentiasa menaungi. Tetapi Duhai Adam, lihatlah dunia kini.

Apa yang telah terjadi terhadap kaumku?

Kini, Aku dan kaumku telah ramai yang menderhakaimu. Ramai yang telah menyimpang dari jalan yang telah ditetapkan. Asalnya Allah mengkehendaki aku tinggal tetap dirumah. Dijalan-jalan,dipasar,di bandar-bandar bukanlah tempatku. Jika terpaksa,aku keluar dari rumah seluruh tubuhku ditutup dari hujung rambut sehingga kehujung kaki. Tapi realitinya kini, aku telah lebih dari yang sepatutnya.

Adam,
Mengapa kau biarkan daku begini? Sememangnya aku ibu dan guru kepada anak-anakmu. Tetapi kini, aku jadi ibu,guru dan aku jugalah yang memikul senjata. Padahal engkau duduk sahaja. Ada diantara kau yang menganggur tiada kerja. Kau perhatikan sahaja aku panjat tangga dipejabat bomba. Kainku tinggi menyingsing peha,mengamankan Negara. Apakah kau sekarang tidak seperti dahulu? Apakah sudah hilang kasih sucimu kepadaku?

Adam,
Marahkah kau jika ku katakan terpesongnya hawa sekarang engkaulah yang harus dipersalahkan! Kenapa kau? Bukankah orang sering bicara, Jika anak jahat maka emak bapak yang tidak pandai mendidik, Jika murid bodoh,guru tidak pandai mengajar. Jadi secara formulanya, Aku binasa,kaulah puncanya!!!

Adam,
Kau selalu mengata, Hawa memang degil! Tidak mahu dengar kata! Tidak mudah makan nasihat! Kepala batu! Tetapi duhai Adam, Seharusnya kau bertanya kepada dirimu, Siapakah ikutanmu? Siapakah rujukanmu? Dalam mendidik aku yang lemah ini. Adakah ikutanmu Muhammad s.a.w? Adakah rujukanmu Muhammad s.a.w? Adakah akhlak-akhlakmu boleh dijadikan contoh buat kami kaum Hawa?

Adam,
Sebenarnya kaulah imam dan aku adalah makmummu. Aku adalah pengikutmu-pengikutmu Kerana kaulah amir. Jika kau benar maka benarlah aku. Jika kau lalai,lalailah aku. Lupakah kau duhai Adam? Kau punya satu kelebihan anugerah Tuhan. Akalmu sembilan, nafsumu satu. Dan aku, akalku satu nafsuku beribu! Dari itu Adam,gunakanlah ketinggian akalmu untuk membimbingku.

Pimpinlah tanganku kerana aku sering lupa dan lalai. Seringkali aku tergelincir ditolak,disorong oleh nafsu dan kuncu-kuncunya. Bimbing dan bantulah aku dalam menyelami kalimah Allah. Perdengarkanlah daku kalimah syahdu dari TuhanMu agar duniaku sentiasa dijalan rahmah. Tiupkanlah roh jihad ke dalam dadaku agar aku mampu tetap menjadi mujahidah kekasih Allah.

Adam,
Andainya kau masih lali dengan kerenahmu sendiri. Masih segan mengikut langkah para sahabat baginda. Masih gentar mencegah mungkar. Maka kita tunggu dan lihatlah dunia ini akan hancur bila aku yang memerintah. Malulah engkau Adam. Malulah engkau pada dirimu sendiri. Wallahualam.